DI ambil di
http://ezadahmad.blogspot.com/2009/04/awas-perangkap-kad-kredit.html
--------------------
Bismillah...
Sumber dari Berita Harian. Berhati-hati ketika menggunakan kad kredit anda.
HUTANG kad kredit mungkin kelihatan seperti isu yang agak kecil tetapi ia boleh menimbulkan masalah yang jauh lebih besar, jika penggunaannya tidak diuruskan secara cekap dan berhemat.
Ini berlaku terutama apabila pengguna hanya membayar bayaran minimum bulanan dan berbelanja sehingga ke tahap maksimum kredit mereka.
Masalah bertambah buruk jika pengguna yang sudah berbelanja sehingga ke tahap maksimum, menggunakan pula kad kredit yang ditawarkan oleh bank lain.
Ini adalah pendekatan salah yang diambil oleh berjuta-juta pengguna kad kredit sehingga menyebabkan mereka terjebak ke kancah hutang dan akhirnya diisytiharkan muflis.
Pengurusan kewangan sebegini juga telah memudaratkan banyak keluarga. Justeru, jika anda didatangi pegawai pemasaran yang menawarkan kad kredit terutama bagi pengguna yang pertama kali memohon, anda perlu memahami fakta dan prinsip penggunaan ‘wang plastik’ ini.
Pertama, anda perlu benar-benar memahami bagaimana kad kredit itu berfungsi. Sebagai pemegang kad kredit anda akan diberikan talian kredit dengan had maksimum yang boleh dicaj kepada kad.
Setiap kali kad itu dicaj menerusi sebarang perbelanjaan atau transaksi, kredit kita berkurangan.
Penyata bulanan yang diterima memberikan kita pilihan, sama ada untuk membayar baki sepenuhnya, atau hanya membayar bayaran minimum bulanan (sesuatu yang sangat tidak digalakkan).
Apabila kita membayar bayaran bulanan kepada bank yang mengeluarkan kad, had kredit maksimum dikembalikan.
Bagaimanapun, apa yang kerap terjadi, pemegang kad kredit hanya membayar jumlah faedah dan bayaran minimum ke atas baki pokok yang terhutang, dan tidak akan membayar balik baki sepenuhnya yang menyebabkan mereka terjerat dengan hutang.
Bagaimana seseorang itu boleh terperangkap? Bagi golongan muda, penyakit berhutang ini mungkin bermula dengan cara yang tidak diduga.
Di pusat pengajian tinggi, sebahagian besar daripada mereka diberikan kad kredit sendiri oleh ibu bapa sebagai pemegang kad tambahan.
Mungkin pelajar berkenaan yakin bahawa mereka akan bergaji tinggi tidak lama lagi iaitu selepas tamat pengajian dan mampu membayar hutang itu dalam jangka masa yang singkat.
Malangnya, ramai graduan yang terpaksa berdepan realiti bahawa masa depan mereka jauh berbeza daripada apa yang dijangkakan iaitu hutang terus meninggi tetapi tidak dapat ditandingi kenaikan dalam pendapatan.
Selain itu, bukan orang muda saja yang mendapati diri mereka terperangkap dalam situasi begini.
Malah, orang dewasa yang berfikiran cukup matang juga tergoda dengan kemudahan kredit ini apabila membeli barangan baru yang diiklankan menggunakan kad kredit.
Dalam situasi lain pula, mereka yang tiada pekerjaan juga boleh terbabas dalam hutang kredit kad apabila menggunakan kad kredit sebagai kemudahan untuk menyara keperluan seharian.
Namun, apabila mereka mula bekerja semula, mereka sedari bahawa kad kredit mereka sudah mencapai had maksimum dan sekali gus pembayaran balik menjadi satu bebanan yang besar.
Jika anda tidak mahu terjerumus dengan kancah hutang kad kredit ini, langkah pertama adalah menganalisis pendapatan dan perbelanjaan bulanan.
Jumlah perbelanjaan anda dan tolakkan daripada pendapatan. Inilah baki pendapatan yang boleh anda gunakan setiap bulan.
Langkah kedua pula hentikan menjalankan transaksi menggunakan kad kredit. Bekukan penggunaan kad kredit anda dan bayarlah barang yang perlu dibeli secara tunai.
Kemudian senaraikan hutang kad kredit yang masih ada dengan mengenal pasti kad yang mengenakan caj kewangan yang paling tinggi.
Mungkin anda berpeluang untuk pindahkan baki daripada kad berfaedah tinggi ke kad yang menawarkan kos yang lebih rendah.
Seterusnya, susunkan kad anda mengikut kadar caj kewangan, gunakan baki pendapatan untuk membayar balik kad yang paling mahal itu.
Setelah hutang kad termahal selesai, tutupkan akaun itu dan musnahkan kad itu.
Kemudian ubahkan tumpuan kepada kad yang seterusnya; teruskan langkah di atas sehingga semua hutang anda sudah habis.
Sebaik saja hutang kad kredit anda luput, hanya simpan beberapa kad saja - dua atau tiga untuk penggunaan yang boleh dikawal.
Setelah menyelesaikan semua hutang kad kredit barulah anda boleh mempertimbangkan cara penggunaan kad itu dengan betul.
Kad kredit ini sebenarnya adalah alat pengurusan wang yang sungguh berkesan, jika digunakan dengan waras.
Kita harus melihat kepada pengguna yang berjaya menguruskan kewangan mereka dengan kad ini.
Pendekatan terpenting dalam penggunaan kad kredit adalah tanggungjawab anda untuk membayar jumlah baki dalam penyata anda setiap bulan.
Bayangkan kad kredit itu sebagai wang tunai yang disimpan setiap bulan bagi barang yang dicaj.
Dengan itu, anda tidak akan dikenakan kos. Kad kredit anda pula akan menjadi kemudahan kewangan yang amat berguna bagi anda.
INFO: Petua tambahan yang boleh membantu
# Ingat, kad kredit bukan wang percuma.
# Hanya simpan satu atau dua kad.
# Cajkan kad kredit anda hanya untuk barang yang anda mampu bayar.
# Carilah kad yang menawarkan kos, caj tahunan dan yuran servis yang paling rendah.
# Bayar semua baki setiap bulan; tetapi jika ini juga sukar, bayar jumlah lebih daripada bayaran minimum bulanan anda.
This entry was posted
on Wednesday, April 15, 2009
at Wednesday, April 15, 2009
. You can follow any responses to this entry through the
comments feed
.